Posted by: niadilova | 18/02/2016

Buku Rais Yatim, silaturahim Negeri Sembilan dan Minangkabau

Ulasan buku : Buku Rais Yatim, silaturahim Negeri Sembilan dan Minangkabau

Buku Rais Yatim, silaturahim Negeri Simbilan dan MinangkabauRais Yatim, Adat: The Legacy of Minangkabau. Kuala Lumpur: Yayasan Warisan Negara, 2015, x + 493 hlm; ISBN: 987-967-13382-0-9 (hard cover); illustrations, notes, glossary, appendixes, bibliographical references dan index.

Malaysia ialah negara moden multi etnik di Asia yang berhasil meraih kejayaan ekonomi. Prestasi hebat ini hanya boleh dicapai kerana perancangan pembangunannya yang berencana dan penataan hubungan antara etnik yang berterusan.

Kerajaan mengatur dengan baik hubungan antara puak Melayu sebagai etnik majoriti tempatan dengan etnik-etnik lain yang bertujuan untuk mewujudkan hubungan harmonis antara pelbagai kaum. Kerajaan tentu amat sedar, terutamanya selepas peristiwa pada tahun 1969, bahawa tanpa ketenteraman dalam masyarakat, tentulah sulit untuk membangunkan bangsa dan negara.

Sifat multi etnik Malaysia bukanlah hal baharu terjadi, seperti yang boleh dirujuk dalam banyak kajian sejarah. Ia wujud sebelum bangsa Eropah datang ke rantau ini pada kurun ke-16. Kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Malayu memang bertambah semasa pentadbiran British, tetapi penghijarahan kedua-dua bangsa itu ke wilayah ini sudah bermula jauh pada masa sebelumnya. Begitu juga etnik lainnya di daerah persekitaran, terutamanya dari kepulauan yang kini berada dalam wilayah negara jiran, Indonesia.

Dengan percampuran etnik yang berlangsung berbilang abad itulah, Malaysia kini membentuk negara moden yang bersifat plural dan heterogen. Buku Adat: The Legacy of Minangkabau karya Tan Sri Dr. Rais Yatim menjadi refleksi mendalam penulisnya terhadap bangsa Malaysia yang punya hakikat kacukan itu.

Ia membahas secara terperinci hubungan sejarah dan budaya antara Negeri Sembilan dengan Minangkabau di Sumatera, Indonesia. Penulisnya, Rais Yatim, yang juga Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Malaysia, ialah putra Negeri Sembilan keturunan Minangkabau.

Tokoh keturunan Minangkabau

Negeri Sembilan sebagai antara rantau  tertua etnik Minangkabau, iitu sebuah etnik utama di Indonesia, telah berjaya melahirkan banyak tokoh sama ada di tanah asal sendiri (Sumatera Barat) mahupun di rantau tempat mereka berhijrah, termasuk di Malaysia. Penulis buku ini ialah contoh yang jelas kecemerlangan keturunan perantau Minangkabau itu.

Seperti dijelaskan oleh J.T. Newbold dalam artikelnya, “Sketch of the four Menángkăbowe states in the interior of the Malayan Peninsula” dalam Journal of the Asiatic Society of Bengal 14 (January – Disember 1835: 241-252), penghijrahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan sudah bermula sejak kurun ke-14. Kemudian hubungan perkahwinan berlaku antara penduduk tempatan, tetapi penghijrah dari Minangkabau itu tetap mengamalkan budaya nenek moyang mereka, iaitu Adat Perpatih.

Justeru, dalam buku yang mengandungi 20 bab ini, Rais  memaparkan adat Negeri Sembilan sambil merujuk kepada akar tunjang sejarahnya di Minangkabau.

Buku yang tebalnya lebih daripada 500 halaman ini memaparkan pelbagai elemen adat Minangkabau sama ada yang ketara (tangible) mahupun yang tidak ketara (intangible). Elemen adat Minangkabau ketara yang dibicarakan dalam buku ini antara lain ialah kulinari, tarian dan musik, seni bela diri (pencak), prasasti, rumah gadang (rumah adat), dan pakaian.

Kepelbagaian elemen budaya

Elemen adat yang tidak ketara pula yang dibicarakan dalam buku ini meliputi sastera dengan Kaba Cindua Mato dibicarakan secara khusus, historiografi tradisional tambo yang kemudian dituliskan dengan memakai huruf Jawi selepas berkembangnya Islam di Minangkabau, sistem matrilineal, iaitu hubungan keturunan menerusi sebelah wanita atau ibu sebagai ciri khas etnik Minangkabau.

Ia juga merangkumi tradisi merantau, hukum adat, sistem geopolitik (luhak dan nagari), agama (Islam), selain menghuraikan aspek sejarah Minangkabau sejak zaman pra-Islam sampai sekarang serta meneropong perubahan penting yang berlaku kepada adat Minangkabau akibat terjadinya Perang Paderi (1803-1837).

Selepas membaca buku ini, kita mendapati kesan kuat bahawa penulisnya sangat menekankan budi dalam adat Minangkabau dan Melayu pada amnya. Rais menelusuri akar sejarah daripada konsep budi ini dengan merujuk kepada perlambangan pokok bodhi dalam tradisi Hindu yang berasal dari India yang kemudian dibawa ke Sumatera jauh sebelum peradaban Islam mencapai wilayah ini.

Meminjam kata-kata Rais sendiri: budi adalah “substratum” dan “the most vital element in the adato or adat Minangkabau.” (Bab 11, hlm. 229). Penulis menunjukkan banyaknya adat lidah pendeta (maxim), iaitu pantun, pepatah petitih, mamangan, ibarat yang melamnbangkan betapa pentingnya budi dalam adat Minangkabau, seperti bansaik budi binaso suku yang bermaksud miskin budi, binasa suku; Nan kuriak kundi / Nan merah sago / Nan baiak budi / Nan indah baso yang bermaksud yang baik adalah budi dan yang indah adalah tata krama/sopan santun (baso)); Dek ribuik runduaklah padi / Dicupak Datuak Tumangguang / Iduik kalau indak babudi / Duduak tagak kamari tangguang yang bermaksud jika hidup seseorang tidak berbudi, maka dia akan menghadapi kesusahan dalam pergaulan; Galundi di sawah gadang / Sariak indak babungo lain / Budi kalau dapek dek urang / Cadiak indak baguno lai yang bermaksud dalam hidup ini pandai-pandailah menanam/bermain budi, sekali Anda melakukan kesalahan, maka Anda akan memperlekehkan dan tidak dipercayai orang lagi); dan Pisang ameh bao balayia / Pisang lidih di ateh peti / Utang ameh dapek dibayia / Utang budi dibao mati  yang bermaksud hutang emas boleh dibayar, tetapi hutang budi akan dibawa sampai mati.

Cabaran modenisasi, globalisasi

Bagaimanapun, tidak ada yang kekal di dunia ini seperti yang juga berlaku pada adat dan budaya, sebagaimana tergambar dalam ungkapan Minangkabau “sakali aia gadang, sakali tapian baraliah” (adat resam berubah mengikut perjalanan waktu), tetapi ia hendaklah tidak melenyapkan elemen inti dalam adat itu sendiri.

Justeru, penulis menunjukkan perubahan yang berlaku atas adat Minangkabau sama ada di Sumatera Barat, tanah asalnya, mahupun di rantau Negeri Sembilan, yang tidak lepas pula daripada pengaruh kuasa luar. Pada zaman penjajahan dulu, kuasa luar itu ialah penjajah Belanda dan British, manakala pada zaman kini tentunya akibat modenisasi dan globalisasi. Berbicara tentang “the future of adat” (Bab 20), penulis memaparkan menipisnya “adat atmosphere” di Negeri Sembilan akibat pemodenan lingkungan hidup dan sistem kenegaraan yang berlaku di Malaysia.

Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim yang begitu mencintai adat resam nenek moyangnya masih berharap adat masih boleh diadaptasikan dan dilestarikan dalam perubahan zaman yang sangat deras ini. Sedapat mungkin elemen inti adat Minangkabau seperti budi, bahasa, dan sistem matrilineal masih lagi diamalkan.

Kerajaan juga perlu menciptakan peluang supaya adat itu masih boleh dipertahankan. Hilangnya adat boleh bererti hilang atau bertukarnya identiti. Jika hal itu terjadi, bererti jalan dialiah urang lalu, cupak dipapek urang panggaleh (kuasa luar sudah menukar identiti kita, membuat kita menjadi asing di negeri sendiri). Oleh itu bangsa Malaysia, khasnya masyarakat Negeri Sembilan, hendaklah menyedari pentingnya mempertahankan identiti yang berazaskan budaya sendiri.

Saya menyarankan buku yang kaya dengan ilustrasi ini dibaca oleh generasi penerus bangsa, agar mereka boleh menahami kenyataan sejarah hubungan rapat Malaysia dengan negeri-negeri jirannya terutama Minangkabau di Pulau Sumatera. Mudah-mudahan buku ini akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu supaya boleh dibaca oleh kalangan yang lebih luas di Malaysia dan Indonesia.

* Resensi ini dipublikasikan dalam akhbar Berita Harian (Kuala Lumpur) edisi Sabtu, 6 Februari 2016.


Responses

  1. Reblogged this on mayangkoto.

  2. Terima kasih atas kunjungannya ke blog ini, Sdr. mayang-koto.

  3. kita bangga menjadi suku bangsa Minangkabau

  4. Terima kasih atas kunjungan dari apresiasi positif dari Rizki Pranata Mulya.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: